About Me

My photo
Pernah bercita-cita untuk menjadi seorang penulis suatu ketika dahulu. Namun niat terkubur sebaik sahaja berada dalam bidang sains tulen yang sudah diakui semuanya fakta, lurus, tidak berkias. Atas sebab itu, dia sudah tidak tahu bagaimana mahu mencetuskan ayat daripada lakaran minda yang indah. Dia sekadar mencuba dan mengharap agar sesiapa yang singgah sebentar, sudi mengkritik dan sudi menasihati. Usah risau, saya tidak akan berkecil hati. "Berusaha mencari dan mengejar kebahagiaan diri serta keluarga tercinta. Mengharap keredhaan dari Allah SWT dalam setiap apa yang dikerjakan supaya kehidupan aman, tenang dan sejahtera."

Wednesday, February 2, 2011

Kau Sempurnakan Ku [2]

Posted by Azila Aus at 8:39 AM 0 comments
Aku bergegas menutup pintu asrama apabila terdengar bunyi pengumuman disekolah. Aku dan Lili berlari-lari anak supaya sempat sampai sebelum nyanyian lagu Negaraku bermula. Sebenarnya, atas sebab inilah kami tidak menerima perlantikan jawatan sebagai Pengawas tahun lepas. Sering sekali kami menyanyikan lagu Negaraku di bahu jalan. Jarang sekali kami betul-betul beratur diluar kelas bersedia untuk menyanyi. Langsung tidak terlintas dalam fikiran bahawa sebenarnya aku sudah bertembung dengan budak Amin. Wajib fokus kepada masa, kelas dan lagu kebangsaan negara serta tidak lupa juga kepada guru disiplin yang gagah perkasa iaitu Cikgu Gopal.

Sebaik sahaja sampai dikelas, aku segera melemparkan beg ke atas meja dan berlari-lari keluar kelas. Pengawas unggul sekolah sedang membebel-bebel diluar membuatkan aku dan Lily ketawa kecil. Lucu. Adrean Law menjelingku manakala Albert John memerli kami yang datang lambat. Aku sekadar tersengih dan menjelirkan lidah kepada mereka.

"Aisya, ko lap tingkap."

Ketua kelas, Joseph datang kepada ku bersama-sama dengan helaian surat khabar.

"Urm, nantilah aku lap. Time rehat."

Aku menyambutnya dengan rasa malas. Terus sahaja aku mengatur kerusi berhadapan dengan Adrean dan Albert untuk memulakan sesi pembelajaran informal. Mereka sangat suka membuli aku, tapi aku tetap sayang mereka. Sayang pada ikatan persahabatan yang terjalin antara kami. Ada suka, ada duka, ada manis, ada pahit. Siapa yang berduka, kalau bukan aku? Siapa pula yang menangis, kalau bukan Aisya?

"Good Morning, Madam."

Tindakan refleks seorang pelajar membuatkan aku terus sahaja berdiri dan mengalihkan kerusi. Harus kembali ke pangkal jalan. Sesi pembelajaran bermula dan seperti biasa, khusyuk tiada. Mataku ke papan hitam, fikiranku entah melayang kemana. Jantungku seakan-akan berhenti daripada berdetak bila perasan ada mata yang memandang dari seberang. 'Argh! Aku yang perasan nih.' 

Krrriiingggg! Loceng rehat berbunyi tepat pada masanya. Diselangi juga dengan bunyi loceng manual dari kelas 5D. Aku bergegas berlari untuk mendapatkan sosej disalut roti. Biarpun ada ramai orang, aku sanggup. Walaupun hari-hari makan, aku tak jemu. Pemilik kedai sering tersalah ketika bercakap dengan ku. Dengan itu, sekali lagi aku 'perasan' yang aku ada rupa cina (chinese look).

Friday, January 28, 2011

Kau Sempurnakan Ku [1]

Posted by Azila Aus at 8:26 PM 0 comments
"Aisya, budak Amin kirim salam kat kau."

"Siapa pulak tu Lily?"

"Budak Form 5, adik Beatrice."

"Aku kenal ke? Beatrice tu siapa pulak?"

"Adoi, kau ingat tak masa perhimpunan hari tu kau tengok seorang mamat yang muka macam Melayu tu?"

Aku mengerutkan dahi menandakan aku tak tahu siapa yang dia maksudkan.

"Esoklah aku tunjuk. Dia budak harian."

"Mana-mana engkaulah Lily."

Aku terus membaringkan diri diatas tilam separa empuk ku di Asrama Kejora. Kelopak mata ku seperti dipijak-pijak, mengantuk. Tengahari yang panas, berbekalkan angin semulajadi dari luar serta perut yang sudah diisi. Pakej yang lengkap untuk ku berhijrah ku alam mimpi. Terdetik di dalam hati, 'Siapakah dia?' Senyum terukir. Tak sabar untuk bertemu hari esok supaya dapat ku lihat budak bernama Amin. 'Gatal!'

Tidur ku yang lena berserta mimpi yang indah diganggu oleh satu suara yang berkuasa. Suara itu boleh membuatkan aku terus bangun dari tidur dan terjun terus ke bawah, bersembunyi dan diam serta-merta. Itulah warden ku yang sangat berkuasa dan dalam usaha untuk mengerah kami bekerja sebelum pergi ke kelas petang. Ku capai telefon bimbit disisi, 'Argh! Baru 10 minit terlelap.' Ku toleh ke kiri dan ke kanan, kawan-kawan ku semuanya terkebil-kebil dan kami mula bergerak dengan langkah longlai.

Peraturan tinggal di asrama semestinya wajib untuk dipatuhi. Junior atau senior, harus saling bekerjasama memastikan tempat tinggal sentiasa bersih. Sejak berada di Tingkatan 6 Atas, kami ditempatkan di bilik yang sama. Mungkin sudah menjadi adat resam bila menjadi pelajar senior, sedikit keangkuhan menguasai diri. Jarang sekali kami menepati masa bekerja sebenar melainkan hadirnya warden ketika semuanya berada di alam mimpi, menghancurkan mimpi-mimpi indah kami. Kami sentiasa pastikan bilik kami bersih tapi kami yakin dengan kuantiti yang ramai boleh menjimatkan masa untuk menghasilkan kualiti yang terbaik.

"Kamu semua ni, adik-adik kamu kat atas semua dah buat kerja. Kamu masih tidur lagi."

Aku tersengih melihat wajah warden ku yang baik hati itu. Madam Cath tak pernah marah walaupun dia tahu kami jarang ikut masa yang ditetapkan, bawa telefon bimbit dan kadang-kadang tak pergi kelas petang. Cuma dia perlu bersikap tegas serta adil supaya tidak dianggap sebagai pilih kasih. Sungguhpun begitu, masih ada adik-adik junior yang tidak senang dengan kami. Entah kenapa aku pun tak pasti.

"Aisya, nah penyapu. Kau ni kenapa? Ingat kat budak Amin tu ke?"

"Eh, ke situ pulak. Lily, aku malas la nak sapu. Kau tolong la."

"Tak der. Kau sapu. Aku nak pegi lap tingkap."

"Hish!"

Aku memulakan tugas ku sambil menyanyi-nyanyi kecil.

"Oit!"

"Oh mak kau."

Sheila mentertawakan aku sekuat-kuat hatinya seolah-olah aku telah menghiburkan dia dengan komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

"Kau jahatlah Sheila. Lepas kau buat aku terkejut, kau gelakkan aku kaw-kaw yer. Nak kena kau ni. "

Pantas sahaja tangan ku cubit lengannya yang tembam untuk memuaskan hati.

"Kau ni lagi jahat. Siap cubit-cubit lagi. Aku tengok kau happy semacam jer, tu yang saja nak usik. Kau teringat pasal Amin eh."

"Ya Allah...aku ni tak tau pun sapa Amin tu. Camner aku nak teringat?"

"Eleh, kau buat-buat tak ingat tu. Dalam hati mesti berbunga-bunga. Hahaha."

"Oit Sheila. Kau jangan nak memandai eh."

Aku tersenyum kecil melihat gelagat Sheila. Dia sememangnya seorang kawan yang mampu menghiburkan yang lain. Malah sikapnya yang periang dan sering ketawa membuatkan diri kita turut diselubungi keriangan yang tak bertepi. Perbezaan agama tidak menghalang ikatan persahabatan diantara kami. Apa yang penting ialah saling hormat-menghormati.

Setelah warden beredar, kami mula merangkak naik keatas katil masing-masing dan meneruskan kembali tidur yang terganggu. Namun, kami lebih suka berborak bercerita tentang apa yang berlaku didalam kelas pagi. Sungguh, cerita kami tak pernah habis kerana setiap hari kita memulakan episod baru yang bermula pada awal pagi ketika bangun dari tidur,sehingga ke malam, sebelum mata terpejam.

Kau Sempurnakan Ku

Posted by Azila Aus at 12:36 AM 0 comments
Jari-jemari ini menari diatas papan kekunci tanpa hala tuju. Entah dimana dan bagaimana untuk aku memulakan segalanya? Apakah ayat atau perkataan yang selayaknya untuk aku gunakan? Sungguh, aku buntu. Tapi hati ini kuat untuk bercerita, fikiran pula diasak oleh kurangnya keyakinan dalam diri. Khuatir. Resah.

Tatkala ini aku sedang berbaring diatas tilam empuk bersama-sama dengan komputer riba kesayangan dan didendangkan lagu Disaat Aku Mencintaimu yang berkumandang di Radio Online Penulisan2u. Jam pada HTC Diamod Pro ku menunjukkan tepat jam 11.59pm dan berbeza pula dengan jam pada Fujitsu Esprimo Mobile yang menunjukkan jam 12.02am. Jelas sekali, Fujitsu dan HTC ku tiada keseragaman.

Berbicara tentang komputer riba, aku tidak pernah melupakan Dell D700 yang aku beli secara membuta lebih kurang 4 tahun yang lalu. Terketa-ketar tangan ku menyerahkan wang tunai RM2,100 kepada Abang Dell. Melihat pada calar diatas permukaan Dell, aku kembali. Khilafnya aku percaya sahaja, lantas menerima kata-katanya tanpa berfikir. Ya Allah, ceteknya pemikiran ku. Kurangnya ilmu ku. Akhirnya Dell tidak dapat bertahan lama. Terdetik dihati, kejamnya peniaga itu mengambil keuntungan disebalik kerugian insan lain.

Mesin basuh sedang berputar. Sudah menjadi kebiasaan makcik akan bangun tengah malam untuk menunaikan solat sunat. Mak dan makcik, insan bergelar ibu. Serupa tapi tak sama. Kedua-duanya mempunyai keistimewaan sendiri namun kecekalan, ketabahan serta kesabaran seorang ibu itu sama. Teguh. Utuh. Tiada tandingan. Aku sendiri tidak yakin samada aku mampu untuk menjadi seperti mereka suatu hari nanti. Pada saat diri ini pula bergelar seorang ibu kepada anak-anak dan isteri kepada seorang suami.

Tiba masanya untuk ku mengundur diri pada hari pertama ini. Semoga esok hari, mindaku diasak dengan idea-idea bernas serta kenangan lalu yang terpahat dalam diri ini masih segar di ingatan. Semoga hari-hari yang mendatang aku dihidangkan dengan pengalaman yang indah dan bermakna disamping pengalaman lalu yang telah banyak mendidikku. Sesungguhnya pengalaman itu merupakan pendidikan informal terbaik, malah sebenarnya lebih baik dari pendidikan formal yang kita pelajari sedari kecil.
 

Kau Sempurnakan Ku Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei